Terbayang dengan keterujaan akan aluran jeram yang dihiasi dengan tingkat-tingkat terjunan air yang amat mengasyikan, membuatkan masa berlalu begitu lambat untuk menunggu dan terus menunggu kawan dan teman yang masih dalam perjalanan, ketidaksabaran yang terbayang diwajah masing-masing menunjukkan betapa dahaganya, betapa laparnya dengan fenomena alam yang dikurniakanNya. Selamat datang para kawan, teman, sahabat atau apapun kita ke Chamang Waterfall, Bentong (Pahang).
Percaturan yang begitu menarik, persediaan yang telah dirancang dengan awal hampir saja terguris dengan kesesakan laulintas, malah momentum perjalanan sedikit teranjak kerana ada yang terpisah dari kumpulan konvoi, lebih kusut dikatakan tersasar dari laluan yang sepatutnya. Maklumlah kaki bendang, sekali sekala keluar baroh, manakan tahu menyusur denai.
Mamat yang tersesat ke Sri Gombak membuatkan yang lain terpaksa melanguk di tol Gombak, hampir satu jam perjalanan teranjak ke belakang, tetapi tidak cukup untuk melemahkan semangat kami bagi meneruskan perjalanan, setelah membayar tol RM5, pemanduan mendaki menghala ke laluan Genting Highland menyajikan panorama pagi hutan tropical yang menghijau membentangi lembah, menyusuri lereng dan cenuram hinggalah kepuncak permatang, membuatkan kami berasa segar, satu suasana yang nyata berbeza bagi penghuni metropolitan.
Setelah hampir 4o minit memandu, kami tiba di bandar Bentong, Bandar lama yang mana seakan cowboy town, kami menjamah sarapan pagi di Warung Mak Cik bersebelahan dengan Padang Majlis Daerah Bentong, masakan biasa ala kampung dengan harga yang berpatutan dan apa yang penting ialah perut sudah terisi maka tumpuan sekarang hanyalah satu, Chamang Waterfall. Aku bertanyakan Mak Ciki warung keadaan cuaca semasa di situ dan jawapannya agak mengembirakan.
Adalah menjadi satu kebiasaan sebelum kehutan, kelautan, kepergunungan atau kemana sahaja yang besahabat dengan alam untuk kita tahu keadaan samada kita dalam lokasi berjaga-jaga atau selesa. Banyak padah atau tragedi yang berlaku kerana faktor ini tidak diambil penting seperti dihanyutkan oleh kepala air, terkena panahan petir, ombak laut yang tetiba boleh meragut nyawa, tanah runtuh yang mengganggu perjalanan dan segala macam bencana. Kita kene tahu dan harus bersahabat dengan fenomena-fenomena ala ini demi keselamatan kita juga.
Setibanya di lokasi air terjun, pandang pertama sudah membuatkan kita jatuh hati dan teruja untuk menikmati kedinginan air serta landscape semulajadinya yang sememangnya sangat cantik. Chamang Waterfall adalah antara salah satu daya tarikan air terjun semulajadi yang terukir indah di bumi Pahang. Lokasi yang hanya 66 kilometer dari Kuala Lumpur menyambut dan melayani kesesakan pengunjung kota terutama pada hari minggu mahupun hari-hari kelepasan am.
Kami merasa bertuah dapat mengunjungi tempat ini pada hari bekerja kerana ia tidak sibuk dengan pengunjung lain dan hanya ditemani pekerja-pekerja Majlis Daerah Bentong. Tempat ini nampak terurus dan bersih dengan keperihatinan pihak kerajaan tempatan, kesinambungan dari itu penghargaan harus diberikan kepada mereka-mereka yang bekerja keras bagi membantu dan memajukan lokasi-lokasi pelancongan seperti ini.
Kepuasan mandi manda dengan air sedingin salju dan juga jernih berkaca, berehat di batuan sambil bersendagurau bersama rakan, bermain seakan melepaskan rindu anak-anak kampung yang mana sesekali menikmati BBQ seperti Ayam Bakar Berempah, Ikan Bakar Berkunyit, Sosej Berlada Hitam, Kerang Bakar Berserai sememangnya satu pakej percutian yang lengkap. Sehinggakan masa berlalu amat pantas. Carlos yang bertindak sebagai Super Senior kelihatan tenang dalam memerhatikan adik-adik juniornya bergembira kadangkala menjerit memberi arahan, peka keatas tanggungjawabnya untuk memastikan rakan-rakannya sentiasa berada dalam keadaan terkawal dan selamat. Terima kasih diucapkan kepada anda, you’re enjoy good fellow.Kami begerak pulang lebih kurang jam 3:00 petang meredah gerimis yang mana hujan lebat dan kesesakan lalulintas menanti di Kuala Lumpur. Ada yang terlelap dan malah ada yang berdengkur kepenatan seharian di Bentong. Yang masih segar hanya pemandu kerana terpaksa memandu untuk pulang ke destinasi masing-masing. Pulang dengan kegembiraan yang mana terpahat dibenak setiap yang datang untuk terus menikmati khazanah kurniaan Tuhan Yang Maha Agung. Sehingga ketemu lagi di lain xpdc... Maelpok
Anda tahu tempat-tempat menarik, khabarkan kepada hamba di ei_smile@yahoo.com.my









No comments:
Post a Comment